Tuesday, July 17, 2012

Untuk Apa Aku Bekerja?

Assalamualaikum..
Dah lama tak update blog.  Td dpt email dr offimate. so, rs nk share dgn semua. untuk dijadikan pedoman..forward from one of my senior offimate yg dh lama bekerja. sekali sekala beliau akn shoot emaill to all untuk memotivasikan diri antara staff.. byk input yg boleh dikongsikan bersama.
Fikir-fikirkan...
Kerja untuk dapatkan wang gaji bukan lagi sesuatu yang menyeronokkan, kerana wang tidak pernah cukup di tangan. Dulu mula kerja gaji RM1000 cukup-cukup makan tetapi sekarang gaji RM 4 ke 5 ribu masih tak cukup lagi, masih lagi perlu berhutang.
Kerja untuk menyara kehidupan keluarga, hanya menyeksakan batin apabila anak isteri bukan sahaja tidak berterima kasih bakan melakukan perkara yang menyakitkan hati.
Kerja untuk kepuasan sendiri, hanya menjadi slogan kosong apabila diri tidak pernah puas hati melihat orang lain pula yang menerima pujian, dinaikkan pangkat sedangkan sumbangan sendiri tidak pernah dihargai ketua.

Kerja untuk apa yang boleh membahagiakan diri sendiri? Yang boleh memotivasikan diri, untuk mahu terus menyumbang dan menyumbang?
Bagaimanakah nak lepaskan diri daripada belenggu ini yang melemahkan semangat untuk bekerja? Pada pagi hari, awal-awal sudah terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas yang teruk. Belumpun tiba di pejabat tekanan darah sudahpun melambung naik kerana berhadapan dengan pemandu yang tidak bertimbangrasa.
Renungkanlah. Pertama, apakah tujuan kita bekerja?
Adakah kerja yang kita lakukan itu merupakan sumber rezeki yang halal? Bukankah kita semua sebagai orang Islam mahu sampai ke Syurga Firdaus?
Tetapi bagaimana hendak menuju Syurga Firdaus itu ?

Allah menyatakan dalam surah al-Maidah 5 ayat 35 yang bermaksud,
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadanya dan berjihadlah di jalannya supaya kamu mendapat keuntungan (kejayaan)."

Mudah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah dan berjihad di jalanNya. Kerja kita sendiri merupakan satu jihad.
Malangnya ramai antara kita yang belum sedar. Kita selalu menganggap bahawa mendekatkan diri kepada Allah, perlu berada di masjid, berzikir, berdoa dan mendirikan solat. Berjihad perlukan pengorbanan masa. Sebenarnya semua itu boleh kita lakukan juga di tempat kerja.

Maksud Aku, berkerjalah dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh kerana Allah swt. Ketahuilah bahawa setiap titik peluh dan masa yang kita sumbangkan semasa bekerja, adalah juga salah satu daripada jalan jihad yang dijanjikan pahala.
Apabila kita mulakan kerja dengan namaNya, mulakan kerja harian dengan persepsi bahawa Aku bekerja untuk mendapat berkat Allah swt, untuk mendapat rezeki halal dariNya, insyaAllah segala pekerjaan yang dilakukan akan menjadi lebih mudah dan lancar. InsyaAllah kita akan lebih mampu memberikan yang terbaik apabila kita menyedari bahawa ap saja yang kita lakukan hanyalah untuk mendapatkan rahmatNya, kita sebenarnya perlu bekerja untuk Allah swt.
Oleh itu, mengapa sedih apabila orang lain yang dinaikkan pangkat? Mengapa perlu kecewa apabila mendapa increment ciput? Mengapa risau apabila bonus belum diberikan? Mengapa geram apabila bos tidak menghargai sumbangan kita? Bukankah sebenarnya segala kebaikan yang kita lakukan semasa hidup sudahpun dicatat malaikat untuk dibentangkan di padang masyar? Yakinlah kepada Allah swt bahawa setiap kerja yang dilakukan dengan ikhlas kerana mahukan keredhaanNya akan dibalas dengan kebaikan pada hari pembalasan.

Janganlah kita terlalu obses dengan kerja sehingga kita lupa bahawa pekerjaan yang kita ada pada hari ini sebenarnya satu amanah yang diberikanNya kepada kita.
Jangan kita terlalu menyayangi jawatan dan pangkat kita sehingga kita bersikap sombong dan asyik mengejar kenaikan pangkat sehingga kita lupa untuk bersikap prihatin, adil dan penyayang terhadap pekerja lain.
Jangan pula kita terlalu mengejar wang sehingga kita lalai menjalankan tanggungjawab terhadap ahli keluarga sendiri, mengabaikan kesihatan diri dan kurang bersyukur padaNya.

Surah ar-Ra'd ayat 11 bermaksud,
"Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."

Apakah yang perlu dilakukan?
Kita perlulah...
"Bersemangat dan bekerja dengan gigih, disertai ilmu yang cukup.. bekerja dengan jujur, amanah, tanggungjawab, adil, dan cermat. Jangan risau dengan hasil pekerjaan tetapi perlu risau apabila tidak dapat bekerja dengan baik, tidak bersungguh-sungguh, tidak tekun dan lalai dalam kerja. Allah tidak akan sia-siakan orang yang bekerja dengan baik".

Betulkan niat kita dalam menjalankan sesuatu pekerjaan. Ihsan. Semasa tiada orang lain yang melihat dan menghargai kerja yang kita lakukan, yakinlah bahawa Allah swt sentiasa melihat dan menghargai setiap kebaikan yang kita hulurkan. Tiada satupun kebaikan dan usaha kita, umat Islam, yang akan menjadi sia-sia apabila kita bekerja dengan niat keranaNya. Hargailah masa yang diberikanNya kepada kita, kekalkan fokus kita pada keredhaan Allah dan insyaAllah semangat untuk terus tekun berusaha dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan akan berterusan.

Ingatlah Surah al-Jumu'ah 62 ayat 10, yang bermaksud..
"Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung."

Selamat Berkerja dan Menyambut Bulan Ramadhan.

*credit to Hj. Ibrahim Yahya,Senior Designer Mechanical.

No comments:

Post a Comment